Thursday, October 27, 2011

TEKNIK MEMBACA KARYA (APRESIASI KARYA)

Bila kita melawat ke galeri atau balai seni lukis, kita akan melihat pelbagai jenis karya Seni Halus. Tetapi kita mempunyai masalah untuk memahami karya-karya tersebut. Untuk memahami karya tersebut, kita perlu membuat apresiasi seni. Kita akan melihat karya itu dari segi bentuk dan makna. Seperti juga pantun dan puisi, karya seni mempunyai maksud yang tersurat (Bentuk) dan maksud yang tersirat (Makna).

Pada bentuk karya, kita akan melihat tajuk karya, pengkarya, bahan yang digunakan, ukuran karya, tahun karya dihasilkan dan kita akan melihat unsur seni dan prinsip rekaan yang diolah oleh pengkarya. Unsur seni yang boleh kita lihat pada karya adalah garisan, rupa, jalinan, bentuk, warna dan ruang. Prinsip rekaan yang boleh kita lihat pada karya adalah hasil olahan unsur seni ini mewujudkan harmoni, kontra, keseimbangan, dominan, pergerakan dan lain-lain.

Pada makna karya, kita akan melihat olahan unsur seni dan prinsip rekaan membentuk imej yang disusun pada komposisi karya untuk menyampaikan mesej. Mesej ini yang akan membawa makna karya dari segi psikologi, sejarah, politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain. Di sini saya melampirkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Muliyadi Mahamood di Seminar Warisan Seni Etnik Sabah 2002 di Universiti Malaysia Sabah. Beliau telah membuat kajian terhadap karya Prof. Madya Awang Damit Ahmad. Kertas kerja beliau bertajuk 'Manifestasi Kontemporari Terhadap Warisan Seni Etnik Sabah' yang terbitkan dalam buku yang bertajuk Warisan Seni Etnik Sabah oleh Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2005. Kertas kerja ini akan menunjukkan cara untuk membaca karya iaitu mengapresiasi karya Seni Halus.



Sumber (Muliyadi Mahamood. 2005. Manifestasi Kontemporari Terhadap Warisan Seni Etnik Sabah. Warisan Seni Etnik Sabah. Prosiding Seminar Warisan Seni Etnik Sabah 2002. Kota Kinabalu: Anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. pp. 117-129)

rohasmezanhashim@yahoo.com.my